MAJLIS SERAH TAPAK PROJEK SISTEM PAIP GRAVITI GKCDA DUN N1 OPAR BAHAGIAN KUCHING
KERAJAAN SARAWAK KOMITED UNTUK MENAMBAHBAIK SISTEM BEKALAN AIR DI KAWASAN DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) N1 OPAR
Pagi ini tadi, 19 Julai 2025 (Sabtu), telah diadakan satu Majlis Serah Tapak Projek Paip Graviti bagi kawasan DUN N.1 Opar oleh YB Encik Billy Sujang, ADUN N.1 Opar bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Kendaie, Daerah Lundu.
Turut hadir bersama dalam memeriahkan majlis tersebut adalah Encik Awang Yusup Bin Awang Mostapha, Pegawai Daerah Lundu dan Encik Ir. Ts. Awang Muhamad Ayahtullah Awang Najeri, Jurutera Air Bahagian Kuching.
Kerajaan Sarawak melalui Program Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) dan JBALB Sarawak sebagai agensi pelaksana sentiasa komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan liputan bekalan air di kawasan DUN N.1 Opar diperluaskan sekaligus menjamin sistem bekalan air yang mampan sejajar dengan permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.
Komitmen tinggi ini dizahirkan melalui pelaksanaan beberapa projek bekalan air iaitu:
1. Projek Menaik Taraf Sistem Paip Graviti di Kampung Pasir tengah
2. Projek Pembinaan Baru Sistem Paip Graviti di Kampung Kendaie, Bukit Batu dan Pasir Hilir
3. Projek Pembinaan Baru Sistem Paip Graviti di kawasan Ranto Panjang, Kampung Pasir Ulu
4. Projek Menaik Taraf Sistem Graviti di Kampung Sedaing
Skop projek-projek ini melibatkan pembinaan baharu dan menaik taraf empangan mini, pemasangan tangki simpanan air mentah tangki aras tinggi, pemasangan saluran paip baharu, serta kerja-kerja berkaitan.
Bagi menjamin sistem bekalan air yang mampan, berkualiti dan berterusan di kawasan DUN N.1 Opar, JBALB Sarawak akan mengembleng tenaga dengan semua pihak untuk memastikan projek – projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan dapat disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus mencapai liputan penuh bekalan air di kawasan berkenaan menjelang tahun 2028.