PROJEK PEMBINAAN BEKALAN AIR JULAU PAKEJ 1 BEROPERASI SEPENUHNYA
02 Nov 2026 - 02 Nov 2026,
Loji Rawatan Air Julau
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, JBALB Sarikei
PROJEK PEMBINAAN BEKALAN AIR JULAU PAKEJ 1 BEROPERASI SEPENUHNYA
YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Julaihi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah merasmikan secara rasmi Loji Rawatan Air Julau, Bahagian Sarikei pada 2 November 2026 (Isnin).
Majlis ini turut disaksikan bersama kehadiran tetamu kehormat iaitu YBhg. Dato Rolland Duat Jubin; YBhg. Datu Haji Jafri bin Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; YBhg. Datu Michael Ronnie Langgong, Residen Bahagian Sarikei; YBrs. Encik Minggu anak Japang, Pegawai Daerah Julau; YBrs. Ir. Ts. Haji Tamida bin Haji Da'adi, Pemangku Pengarah JBALB Sarawak; YBrs. Puan Malseni binti Jamal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd; ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat, serta pegawai dan kakitangan kementerian dan agensi.
Taklimat berkenaan projek telah disampaikan oleh Ts. Chieng Ghin Wei, selaku Jurutera Air Bahagian Sarikei kepada YB Menteri dan para hadirin yang hadir.
Seusai majlis perasmian tersebut, YB Menteri serta rombongan telah dibawa untuk meninjau di sekitar kawasan Loji rawatan air tersebut.
Turut hadir bersama Pemangku Pengarah JBALB adalah Ir. Ts. Kueh Li Li, Timbalan Pengarah (Khidmat Teknikal); Ts. Aaron Gorino, Timbalan Pengarah (Operasi); dan Ir. Ts. Chhoa Chia Yee, Ketua Penolong Pengarah (Pengeluaran).
Pelaksanaan projek pembinaan Projek Bekalan Air Julau Pakej 1 bernilai sekitar RM25.7 Juta ini mula dilaksanakan pada bulan Ogos 2024 dan telah siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2026.
Projek tersebut telah dirancang dengan teliti oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana sentiasa komited untuk memastikan infrastruktur dan sistem bekalan air di Bahagian Sarikei dipertingkatkan, sekaligus menambahbaik sistem bekalan air sedia ada bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Julau dan sekitarnya.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini sangat signifikan dalam menambahbaik sistem bekalan air sedia ada di Bahagian Sarikei, terutama sekali di pekan Julau dan sekitarnya. Skop projek ini termasuk menaiktaraf loji rawatan air Julau sedia ada dengan tambahan 3.4 Juta Liter Sehari (JLH), pembinaan muka sauk air mentah, pembinaan stesen pam air mentah, dan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 28.8km.
JBALB Sarawak kekal komited dalam memastikan pembangunan infrastruktur bekalan air dilaksanakan secara berterusan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
For more information, please visit
here