Event

 

RERUAI JBALB SARAWAK TERIMA KUNJUNGAN YAB PREMIER SARAWAK BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SARAWAKKU SAYANG SARIKEI 

08 Aug 2026 - 08 Aug 2026, Kompleks Sukan Sarikei
Unit Perancang Ekonomi Sarawak EPU
RERUAI JBALB SARAWAK TERIMA KUNJUNGAN YAB PREMIER SARAWAK BERSEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM SARAWAKKU SAYANG SARIKEI 

Sekitar hari kedua Program Sarawakku Sayang 2026 Sarikei yang berlangsung hari ini di Kompleks Sukan Sarikei, reruai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak terus menjadi tumpuan apabila menerima kunjungan YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg bersama rombongan bersempena dengan Majlis Perasmian program tersebut.

YAB Premier turut meluangkan masa meninjau pameran serta mendapatkan penerangan mengenai peranan, perkhidmatan dan inisiatif terkini JBALB Sarawak dalam memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air luar bandar terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.

Turut hadir menerima kunjungan YAB Premier ialah Ir. Ts. Haji Tamida bin Haji Da’adi, Timbalan Pengarah (Pembangunan) JBALB Sarawak yang mewakili Pengarah JBALB Sarawak; Ts. Aaron Gorino, Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB Sarawak; Ts. Chieng Ghin Wei, Jurutera Air Bahagian Sarikei.

Sepanjang hari kedua program, reruai JBALB Sarawak menerima sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung pelbagai lapisan masyarakat di Bahagian Sarikei.

Selain mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan bekalan air luar bandar, pengunjung turut berpeluang membayar bil JBALB serta menyertai kuiz untuk cabutan hadiah menarik yang disediakan sepanjang program.

Sebelum majlis perasmian bermula pada pagi tadi, reruai JBALB Sarawak juga menerima kunjungan daripada Datu Haji Jafri bin Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi yang turut berkesempatan singgah ke pameran bersama Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak.

Penyertaan JBALB Sarawak dalam Program Sarawakku Sayang 2026 menjadi platform penting untuk mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat, di samping memperkukuh penyampaian maklumat secara lebih dekat, jelas dan berkesan mengenai usaha Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan akses bekalan air bersih kepada rakyat.

Belum sempat singgah hari tok? Sik da masalah! Kamek orang masih ada di sitok sampe esok, hari ketiga Sarawakku Sayang 2026 Sarikei!

Jumpa kitak orang di reruai kamek orang!
For more information, please visit here