'ACUTE SYSTEM' NIBONG TADA DI SIBU KINI BEROPERASI, PERKUKUH BEKALAN AIR SETEMPAT
23 Jul 2026 - 23 Jul 2026,
Acute System Nibong Tada Sibu
Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak
'ACUTE SYSTEM' NIBONG TADA DI SIBU KINI BEROPERASI, PERKUKUH BEKALAN AIR SETEMPAT
YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke Projek 'Acute System' Nibong Tada, Bahagian Sibu bagi meninjau pengoperasian sistem bekalan air yang kini telah beroperasi sepenuhnya.
Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh Ts. Haji Tamida bin Haji Da'adi yang mewakili Pengarah JBALB Sarawak dan Ir. Ts. Kueh Li Li, Timbalan Pengarah (Khidmat Teknikal) JBALB Sarawak.
Turut hadir bersama YB Menteri ialah YBhg. Datu Haji Jafri bin Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Puan Maria Nadja, wakil Pejabat Residen Sibu.
Dalam lawatan tersebut, Cik Joanna anak Ali, Penolong Jurutera Air Bahagian telah menyampaikan taklimat mengenai pengoperasian 'Acute System' sebelum YB Menteri dibawa meninjau kemudahan dan kawasan tapak projek.
Projek 'Acute System' Nibong Tada yang bernilai sekitar RM12 Juta mula dilaksanakan pada bulan November 2025 dan telah mula beroperasi sepenuhnya bermula dari 30 April 2026.
Projek ini telah dirancang dengan teliti oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bagi menambahbaik sistem bekalan air sedia ada di kawasan Nibong Tada dan kawasan sekitarnya.
Skop projek merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti minimum 4 Juta Liter Sehari (JLH) yang boleh dinaik taraf sehingga 5 Juta Liter Sehari (JLH). Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan jeti muka sauk air mentah serta pemasangan saluran paip baharu yang disambungkan ke tangki aras tinggi sedia ada di Nibong Tada.
Dengan beroperasinya 'Acute System' Nibong Tada ini, projek ini telah memberi manfaat besar kepada penduduk di Nibong Tada dan kawasan sekitarnya, sejajar dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses bekalan air yang mampan dan berkualiti kepada rakyat.
Rakan JBALB Bahagian Sibu
For more information, please visit
here