Ts. AHMAD SELIHIN BIN CHE SAID DIRAI ATAS JASA DAN SUMBANGAN KEPADA JBALB SARAWAK
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak telah menganjurkan satu Majlis Penghargaan Bersama Mantan Pengarah JBALB Sarawak pada 20 Julai 2026 bertempat di Pullman Hotel Kuching sebagai tanda penghargaan atas jasa komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Tuan Ts. Ahmad Selihin bin Che Said, Mantan Pengarah JBALB Sarawak yang telah bersara wajib pada 20 Jun 2026.
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Namun, jasa dan bakti yang telah dicurahkan akan terus terpahat sebagai legasi yang bernilai.
Majlis penuh bermakna ini menghimpunkan warga JBALB Sarawak dalam suasana penuh mesra dan penghargaan bagi meraikan seorang pemimpin yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan organisasi serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan bekalan air luar bandar di Sarawak.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Pengarah JBALB, barisan Pengurusan Tertinggi JBALB Sarawak, Jurutera-Jurutera Air JBALB Bahagian, serta kakitangan daripada Ibu Pejabat JBALB dan JBALB Bahagian.
Majlis Penghargaan ini menjadi simbol penghormatan dan penghargaan atas perjalanan kerjaya yang penuh amanah serta komitmen dalam memperkukuh pengurusan dan pembangunan organisasi. Semoga segala jasa yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan dan terus dikenang oleh seluruh warga kerja JBALB.
Selamat melangkah ke fasa baharu kehidupan. Semoga Ts. Ahmad Selihin bin Che Said sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan bersama keluarga serta dipermudahkan segala urusan dalam fasa baharu kehidupan.