Event

 

JBALB SARAWAK & SARAWAK INFORMATION SYSTEMS SDN BHD (SAINS) METERAI KERJASAMA STRATEGIK PACU TRANSFORMASI DIGITAL BEKALAN AIR

15 Jul 2026 - 15 Jul 2026, Borneo Convention Centre Kuching
JBALB, SAINS
JBALB SARAWAK & SARAWAK INFORMATION SYSTEMS SDN BHD (SAINS) METERAI KERJASAMA STRATEGIK PACU TRANSFORMASI DIGITAL BEKALAN AIR

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) hari ini telah melakar satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh agenda pendigitalan negeri menerusi Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena dengan Borneo International Water & Wastewater Exhibition & Conference (BIWWEC 2026) bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Majlis pertukaran MoU ini telah disaksikan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, semasa Majlis Perasmian BIWWEC 2026 yang berlangsung pada pagi tadi.

Pertukaran MoU tersebut telah dilakukan oleh Tuan Ts. Haji Tamida bin Haji Da'adi, yang mewakili Pengarah JBALB Sarawak, dan Encik Grant Than Shau Bui selaku Ketua Pegawai Teknologi SAINS, sebagai simbol komitmen bersama dalam mempercepatkan transformasi digital sektor bekalan air di Sarawak.

Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada pembangunan Inisiatif Digital Twin, yang akan mengintegrasikan data operasi, maklumat aset serta Building Information Modelling (BIM) ke dalam satu platform digital bersepadu. Melalui pendekatan ini, JBALB akan memperkukuhkan keupayaan perancangan, pemantauan dan pengurusan aset secara lebih pintar, seterusnya menyokong keputusan yang berasaskan data serta penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Melalui kerjasama strategik ini, JBALB Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memanfaatkan teknologi digital bagi memperkukuh kecekapan operasi, memperkasakan pengurusan aset serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Inisiatif Digital Twin menjadi pemangkin ke arah sistem bekalan air yang lebih pintar, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JBALB dalam membangunkan sistem bekalan air yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy 2030 serta usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan.

Sarawak Information Systems Sdn Bhd

#JBALBSarawak #SAINS #DigitalTwin #DigitalTransformation #SmartWater #BIWWEC2026 #SarawakDigitalEconomy2030
For more information, please visit here