PROJEK BEKALAN AIR KANOWIT FASA 2 CAPAI 99.5% SIAP (DALAM UJIAN & PENTAULIAHAN), PERKUKUH SISTEM BEKALAN AIR DI BAHAGIAN SIBU
04 May 2026 - 04 May 2026,
Kanowit Fasa 2 Sibu
JBALB Sibu, MUT, Sarawak Water Sdn Bhd
PROJEK BEKALAN AIR KANOWIT FASA 2 CAPAI 99.5% SIAP (DALAM UJIAN & PENTAULIAHAN), PERKUKUH SISTEM BEKALAN AIR DI BAHAGIAN SIBU
Setelah selesai YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utilti dan Telekomunikasi Sarawak melakukan lawatan kerja rasmi ke Acute System Sg. Sadit dan Rantau Panjang, beliau meneruskan lawatan kerja rasmi yang ketiga ke Projek Bekalan Air Kanowit Fasa 2.
Projek Bekalan Air Kanowit Fasa 2, Bahagian Sibu kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dengan kemajuan fizikal telah mencapai 99.5% dan sedang dalam proses ujian dan pentauliahan ('testing & commissioning').
Projek berimpak tinggi bernilai sekitar RM78 juta ini dilaksanakan bagi menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta menampung peningkatan permintaan di Daerah Kanowit, termasuk kawasan Nibong Tada, Durin, Machan, Sibu Jaya dan kawasan sekitarnya.
Skop pelaksanaan projek merangkumi pemasangan saluran paip air pelbagai saiz sepanjang 55 kilometer dari Loji Rawatan Air Salim ke kawasan Kanowit, termasuk penyambungan saluran paip air ke sistem agihan sedia ada di kawasan Sibu Jaya.
Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 1.5 Juta Liter Sehari di Durin serta pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti 3.5 Juta Liter di Bukong Jagoi.