Event

 

KERAJAAN SARAWAK TERUS KOMITED MENAMBAHBAIK SISTEM BEKALAN AIR DI SEBANGAN, SAMARAHAN MELALUI PELAKSANAAN PEMBINAAN 'ACUTE SYSTEM'

30 Apr 2026 - 30 Apr 2026, Tapak Projek Pembinaan Acute System Sebangan, Samarahan
Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak, JBALB Samarahan, SWSB
KERAJAAN SARAWAK TERUS KOMITED MENAMBAHBAIK SISTEM BEKALAN AIR DI SEBANGAN, SAMARAHAN MELALUI PELAKSANAAN PEMBINAAN 'ACUTE SYSTEM'

YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utilti dan Telekomunikasi Sarawak pada hari ini telah melakukan lawatan ke tapak projek Pembinaan "Acute System" di kawasan Sebangan, Bahagian Samarahan.

Ketibaan YB Menteri disambut oleh Tuan Pengarah JBALB Sarawak, Ts. Ahmad Selihin bin Che Said.

Turut hadir bersama dalam lawatan tapak projek tersebut adalah Encik Rais bin Ahmat (Timbalan Residen Bahagian Samarahan), Encik Ir. George Lee Chun Lung (Pengarah Bekalan Air Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), Puan Malseni binti Jamal (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd), Puan Ir. Ts. Kueh Li Li (Timbalan Pengarah - Khidmat Teknikal JBALB), penghulu, pemanca, ketua kaum ketua masyarakat di kawasan tersebut, pegawai kakitangan Kementerian MUT, JBALB, Sarawak Water yang terlibat dalam program tersebut.

Taklimat berkenaan dengan perkembangan terkini projek tersebut telah disampaikan oleh Encik Ts. Adzahari bin Baini selaku Jurutera Air JBALB Bahagian Samarahan kepada YB Menteri dan seterusnya meninjau di sekitar tapak pembinaan Acute System.

Keprihatinan dan komitmen Kerajaan Sarawak melalui Kementerian utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bagi menambahbaik sistem bekalan air sedia ada serta menampung peningkatan permintaan bekalan air di kawasan Sebangan dan sekitarnya.

Pelaksanaan projek pembinaan "Acute System" bernilai sekitar RM12 Juta, projek ini mula dilaksanakan pada bulan November 2025 dan dijangka siap pada bulan Julai tahun ini. 

Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti lima (5) Juta Liter Sehari dan pemasangan saluran paip baharu kira-kira 11 km ke paip agihan sedia ada. Ia akan memberi manfaat besar kepada penduduk di Sebangan dan kawasan sekitar sekaligus menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan.

Bagi menjamin bekalan air yang berkualiti dan berterusan di Bahagian Samarahan, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek – projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
For more information, please visit here