PROJEK PEMBINAAN NON-REVENUE WATER (NRW) TINGKATKAN SISTEM BEKALAN AIR DI SANTUBONG, KUCHING
13 Apr 2026 - 13 Apr 2026,
Stesen Pam Penggalak Sungai Lumut, Santubong
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)
PROJEK PEMBINAAN NON-REVENUE WATER (NRW) TINGKATKAN SISTEM BEKALAN AIR DI SANTUBONG, KUCHING
Majlis Penyerahan Projek Siap Program 'Non-Revenue Water' (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Sarawak telah berlangsung pada pagi tadi yang disempurnakan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bertempat di Stesen Pam Penggalak Sungai Lumut, Bahagian Kuching bersempena dengan Program PETRA Skuad Zon Sarawak 2026.
Turut hadir bersama YAB Timbalan Perdana Menteri adalah YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia), YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Junaidi (Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam)), YBhg. Dato’ Sri Hj. Mad Zaidi bin Mohd Karli (Ketua Setiausaha PETRA), dan YBrs. Ir. Ts. Anita binti Mohd Shafie (Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA)).
Turut hadir juga bersama dalam memeriahkan majlis penyerahan tersebut adalah YBrs. Ir. George Lee (Pengarah Bekalan Air Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), dan YBrs. Ts. Ahmad Selihin bin Che Said (Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak) .
Sebelum sesi penyerahan projek, YAB TPM telah diberikan taklimat mengenai status projek berkenaan yang disampaikan oleh YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air dan seterusnya meninjau tapak pemasangan tangki termasuk peralatan pemantauan di tapak kawasan stesen pam penggalak tersebut.
Sesi penyerahan secara rasmi projek berkenaan turut disempurnakan oleh YBrs. Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) selaku wakil Kerajaan Persekutuan kepada YBrs. Tuan Pengarah JBALB Sarawak sambil disaksikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.
Projek Non-Revenue Water (NRW) ini bertujuan mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) melalui penambahbaikan sistem pengukuran, kawalan serta pemetaan rangkaian bekalan air menggunakan teknologi 'Geographic Information System (GIS)'. Skop kerja merangkumi pemasangan dan penggantian meter 'System Input Volume (SIV)', meter pengguna, pembangunan sistem GIS serta kerja pembaikan tangki termasuk pemasangan peralatan pemantauan.
Projek ini dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di bawah Program NRW Kebangsaan. Ia dijangka menjadi pemangkin kepada perancangan lebih sistematik dalam mengurangkan NRW di Sarawak, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan aset bekalan air negeri.
For more information, please visit
here