AMANAT SULUNG PENGARAH JBALB SARAWAK 2026: 6 HALA TUJU DIGARISKAN UNTUK MENERUSKAN LEGASI KEPIMPINAN
10 Feb 2026 - 10 Feb 2026,
Imperial Hotel Kuching
JBALB HQ
AMANAT SULUNG PENGARAH JBALB SARAWAK 2026: 6 HALA TUJU DIGARISKAN UNTUK MENERUSKAN LEGASI KEPIMPINAN
Amanat sulung bagi tahun 2026 oleh Ts. Ahmad Selihin Che Said telah menjadi titik tolak penting dalam hala tuju baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, sejak beliau dilantik secara rasmi sebagai Pengarah JBALB Sarawak.
Pelantikan ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila beliau menjadi pengarah pertama JBALB Sarawak yang dilantik daripada kalangan warga jabatan sendiri, sejak penubuhan JBALB Sarawak pada tahun 2015. Ia sekali gus mencerminkan keyakinan kepimpinan terhadap keupayaan modal insan dalaman JBALB Sarawak dalam meneruskan agenda pembangunan dan perkhidmatan air luar bandar negeri ini.
Dengan mengangkat tema “Meneruskan Legasi: Membina Kepercayaan, Menyatu Kekuatan”, amanat sulung ini menegaskan komitmen kepimpinan untuk meneruskan kejayaan dan pencapaian yang telah dibina sebelum ini, di samping memperkukuh kesepaduan, kepercayaan serta semangat kebersamaan dalam kalangan seluruh warga kerja JBALB Sarawak.
Dalam amanat tersebut, Tuan Pengarah menekankan bahawa kejayaan organisasi bukan sahaja bergantung kepada dasar dan perancangan, tetapi turut ditentukan oleh kepercayaan, nilai kerja berpasukan serta kekuatan hubungan sesama warga kerja, selaras dengan peranan JBALB Sarawak sebagai agensi perkhidmatan yang dekat dengan rakyat.
Sehubungan itu, enam (6) hala tuju utama telah digariskan sebagai teras pelaksanaan agenda JBALB Sarawak bagi tahun 2026, iaitu:
1. Membina kepercayaan dan hubungan akrab dalam kalangan warga JBALB Sarawak
2. Mewujudkan budaya kerja yang positif serta persekitaran tempat kerja yang kondusif dan disukai
3. Memperjelaskan peranan dan tanggungjawab jabatan dalam menyokong pencapaian Pelan Pembangunan Sarawak 2030 (PCDS 2030)
4. Memastikan pengoperasian terbaik serta penyampaian perkhidmatan yang diyakini rakyat
5. Mencapai sasaran projek pembangunan mengikut perancangan yang ditetapkan
6. Membina sebuah keluarga besar JBALB yang lestari dan harmoni.
Turut disentuh dalam amanat berkenaan ialah rombakan dan penambahbaikan terhadap struktur operasi jabatan, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kecekapan organisasi, memperjelas fungsi dan peranan setiap peringkat pengurusan serta memastikan JBALB Sarawak kekal relevan, responsif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan.
Amanat sulung ini menjadi landasan penting kepada hala tuju kepimpinan baharu JBALB Sarawak, sekali gus mencerminkan tekad untuk menyatu kekuatan seluruh warga jabatan dalam meneruskan legasi kecemerlangan perkhidmatan air luar bandar demi kesejahteraan rakyat Sarawak