Event

 

MANTAN PENGARAH JBALB DIRAIKAN DALAM SATU MAJLIS YANG PENUH GILANG GEMILANG DAN BERMAKNA

14 Jan 2026 - 14 Jan 2026, Hilton Hotel Kuching
JBALB HQ
MANTAN PENGARAH JBALB DIRAIKAN DALAM SATU MAJLIS YANG PENUH GILANG GEMILANG DAN BERMAKNA

Sebagai tanda setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, bakti dan kepimpinan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan, Mantan Pengarah JBALB Sarawak, Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan telah diraikan dalam Majlis Penghargaan “Sejambak Kasih, Sekalung Budi” yang berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang, kemesraan dan penghormatan bertempat di Hotel Hilton.

Majlis yang penuh bermakna ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi, para Jurutera Air Bahagian, dan  warga kerja Ibu Pejabat JBALB Sarawak bagi meraikan seorang pemimpin yang telah memainkan peranan penting dalam memacu transformasi, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan prestasi JBALB Sarawak ke tahap yang lebih cemerlang.

Kepimpinan beliau yang berwawasan, berintegriti dan berjiwa rakyat telah meninggalkan kesan mendalam serta menjadi legasi berharga untuk diteruskan.

Selain meraikan pencapaian dan kejayaan, majlis ini turut menjadi wadah untuk menzahirkan rasa terima kasih, penghormatan dan kenangan manis sepanjang kebersamaan, sekali gus mencerminkan penghargaan tulus ikhlas seluruh warga JBALB Sarawak terhadap pengorbanan dan sumbangan besar yang telah dicurahkan.

Semoga segala jasa dan bakti beliau terus dikenang, dan legasi kepimpinan yang ditinggalkan menjadi sumber inspirasi kepada generasi kepimpinan seterusnya dalam meneruskan agenda pembangunan dan kecemerlangan perkhidmatan JBALB Sarawak.