Event

 

JBALB SARAWAK IKTIRAF SUMBANGAN WARGA KERJA SERTA HARGAI PERANAN RAKAN JBALB DAN MEDIA

17 Dec 2025 - 17 Dec 2025, Miri Marriott Resort & Spa
JBALB Miri
JBALB SARAWAK IKTIRAF SUMBANGAN WARGA KERJA SERTA HARGAI PERANAN RAKAN JBALB DAN MEDIA

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Bahagian Miri telah menganjurkan Majlis Apresiasi JBALB Bahagian Miri 2025 pada 17 Disember 2025 (Rabu) bertempat di Miri Marriott Resort & Spa sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada warga kerja JBALB, Rakan JBALB Bahagian Miri serta rakan-rakan media atas sokongan padu dan kerjasama erat yang telah diberikan sepanjang tahun 2025. 

Majlis yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak dianjurkan bagi menghargai sumbangan semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam membantu JBALB menambah baik penyampaian perkhidmatan bekalan air kepada rakyat, khususnya di Bahagian Miri dan kawasan sekitarnya.

JBALB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rakan JBALB Bahagian Miri yang sentiasa komited dalam menyokong pelaksanaan projek, penyelesaian isu di lapangan serta usaha berterusan jabatan dalam memastikan perkhidmatan bekalan air yang lebih cekap, berdaya tahan dan berfokuskan keperluan rakyat.

Dalam masa yang sama, JBALB juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak media atas peranan signifikan sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Kerjasama baik ini amat penting dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap usaha, inisiatif serta cabaran yang dihadapi JBALB dalam menambah baik perkhidmatan bekalan air luar bandar.

Majlis Apresiasi ini mencerminkan komitmen JBALB untuk terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama semua pihak berkepentingan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif. JBALB percaya bahawa sokongan padu daripada Rakan JBALB dan media akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan perkhidmatan jabatan pada masa hadapan.

Turut hadir bersama dalam memeriahkan majlis tersebut adalah Encik Ts. Ahmad Selihin bin Che Said (Timbalan Pengarah - Operasi), dan Puan Ir. Ts. Kueh Li Li (Timbalan Pengarah - Khidmat Teknikal), dan Encik Ts. Lau Jing Teck (Jurutera Air JBALB Bahagian Miri).