Event

 

'SCHEDULE OF RATES JBALB SARAWAK' DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH KECEKAPAN DAN PIAWAIAN PROJEK BEKALAN AIR

04 Dec 2025 - 04 Dec 2025, UCSI Hotel Kuching
JBALB HQ
'SCHEDULE OF RATES JBALB SARAWAK' DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH KECEKAPAN DAN PIAWAIAN PROJEK BEKALAN AIR

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah melancarkan ’Schedule of Rates (SOR) JBALB Sarawak’ sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh integriti, ketelusan, tadbir urus, kecekapan dan piawaian projek bekalan air.

SOR yang dilancarkan oleh YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) yang mewakili YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersempena Majlis Apresiasi JBALB Sarawak Tahun 2025 yang telah diadakan pada 4 Disember 2025 (Khamis) bertempat di UCSI Hotel Kuching dirangka bertujuan untuk menjadi dokumen rujukan dalam kerja-kerja pembinaan dan pemasangan berkaitan bekalan air, penentuan harga bahan, buruh dan peralatan, penyediaan anggaran kos projek dan penyelarasan harga bagi tender, sebut harga dan kontrak.

SOR JBALB Sarawak berfungsi sebagai panduan harga supaya semua pihak yang merangkumi perunding, kontraktor dan pegawai teknikal dapat menggunakan kadar yang seragam, telus dan mengikut piawaian sekaligus mengelakkan ketirisan, dan memudahkan proses penilaian serta kelulusan projek.

Langkah ini seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg untuk membudayakan tadbir urus dan tatakelola yang baik dalam setiap agensi negeri. Pelaksanaan SOR ini menandakan satu anjakan penting dalam memperkukuh pengoperasian JBALB sebagai sebuah Jabatan Teknik. Dengan pelancaran ini, JBALB Sarawak terus komited untuk melaksanakan urus tadbir yang baik, berpaksikan prinsip integriti sebagai pemacu organisasi.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada 123 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan dan sekalung penghargaan kepada 35 orang pesara yang telah dianugerahkan pada majlis apresiasi tersebut.

Turut hadir bersama dalam memeriahkan majlis tersebut adalah YBhg. Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan (Pengarah JBALB Sarawak), YBrs. Puan Malseni binti Jamal (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd) , barisan pengurusan tertinggi Ibu Pejabat JBALB serta Jurutera-Jurutera Air Bahagian JBALB Sarawak.