Event

 

DUA (2) PROJEK BEKALAN AIR BERIMPAK TINGGI MULA DILAKSANAKAN DI DAERAH LUNDU-SEMATAN

08 Nov 2025 - 08 Nov 2025, Simpang Biawak, Lundu.
Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak
DUA (2) PROJEK BEKALAN AIR BERIMPAK TINGGI MULA DILAKSANAKAN DI DAERAH LUNDU-SEMATAN

Hari ini tadi, YB Dato Sri Haji Julaihi Bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah melakukan lawatan kerja dan menyaksikan majlis penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Lundu Baharu dan Projek Bekalan Air Wilayah Lundu-Sematan bertempat di Simpang Biawak, Lundu.

Majlis ini juga dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy Binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Encik
Billy Anak Sujang, ADUN N1-Opar, Yang Berhormat Encik Azizul Annuar Bin Pehin Sri Haji Adenan, ADUN N3 Tanjong Datu, Yang Berbahagia Datu Jafri Lias
Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Bin Awang Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak.

Terlebih dahulu taklimat projek disampaikan oleh Ir. Ts. Awang Muhammad Ayahtullah, Jurutera Air Bahagian Kuching (JBALB) disusuli dengan simbolik penyerahan tapak projek. 

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan sistem bekalan air di Daerah Lundu/Sematan sentiasa ditambahbaik dan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan tersebut sekaligus menambah liputan air terawat. Keprihatinan ini telah dizahirkan melalui pelaksanaan dua (2) projek bekalan air berimpak tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak bernilai sekitar RM256 Juta.

Bagi projek pembinaan loji rawatan air baharu Lundu ini, ia dilaksanakan secara tender melibatkan kos bernilai sekitar RM112 juta dengan skop pembinaan meliputi pembinaan loji air berkapasiti 20 Juta Liter Sehari, pembinaan stesen muka sauk, serta pembinaan bangunan pentadbiran, bangunan simpanan bahan kimia dan rumah pam. 

Selain itu, ia juga melibatkan pemasangan saluran paip air mentah sepanjang 1.5km, pemasangan saluran paip air terawat grid sepanjang 4.5km ke Simpang Biawak dan pemasangan saluran paip sepanjang 6km dari Simpang Biawak ke Stesen Pam Penggalak Bagak. 

Apabila projek ini siap menjelang tahun 2028 nanti, ia akan menambahbaik dan membekalkan bekalan air terawat kepada pengguna sedia ada dan pengguna baharu di Daerah Lundu-Sematan.

Manakala bagi Projek Bekalan Air Wilayah Lundu-Sematan, ia juga dilaksanakan menerusi tender melibatkan kos pembinaan dianggarkan sekitar RM144 Juta yang meliputi skop pembinaan empat (4) stesen pam penggalak iaitu Telok Melano No.1, Telok Melano No. 2, Sematan dan Opek serta pembinaan empat (4) tangki simpanan air masing-masing di Telok Melano berkapasiti 4 Juta Liter, di Sematan berkapasiti 4.5 Juta liter, di Sedaing dengan kapasiti 2 Juta Liter dan di Pasir Ulu berkapasiti 3 Juta Liter. Selain itu, skop projek ini juga melibatkan pembinaan saluran paip pelbagai saiz sepanjang 77km (paip grid bersaiz 350mm ke 800mm ND) dan sepanjang 25km (paip air bersaiz 160mm ke 400mm OD) serta pemasangan saluran paip komunikasi ke 1,176 buah rumah sepanjang lebih kurang 58.8km. 

Projek yang telah bermula pada bulan September 2025 ini dijangka siap pada suku ketiga tahun 2028, dan ia bakal menyalurkan bekalan air terawat ke kawasan yang masih belum menerima bekalan air dan merupakan sebahagian daripada projek sistem grid bekalan air Sarawak.

Bagi menjamin bekalan air terawat yang berkualiti dan berterusan di Daerah Lundu-Sematan, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.