Event

 

PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SONG KINI SUDAH BEROPERASI, BERI MANFAAT KEPADA 1400 BUAH RUMAH

05 Nov 2025 - 05 Nov 2025, Loji Rawatan Air Song
Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak
PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SONG KINI SUDAH BEROPERASI, BERI MANFAAT KEPADA 1400 BUAH RUMAH

Pada petang ini tadi, Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama rombongan telah melakukan lawatan kerja ke Loji 'Acute System' yang terletak di Loji Rawatan Air Song. Ketibaan beliau disambut oleh Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak dan Encik Andres Inchatekoster, Jurutera Air JBALB Bahagian Kapit.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Liwan Lagang (Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), Yang Berhormat Encik Lidam anak Assan (ADUN N.62 Katibas) dan Yang Berbahagia Datu Jafri Lias (Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak).

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan sistem bekalan air di Daerah Song sentiasa ditambahbaik dan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan tersebut.

Bagi projek pembinaan ”Acute System” di Loji Rawatan Air Song, ia kini sudah siap dilaksanakan sepenuhnya dan telah mula beroperasi. Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini telah bermula pada bulan Februari 2025 dengan kos bernilai sekitar RM14 Juta dengan melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti empat (4) Juta Liter Sehari (JLH).

Pelaksanaan projek ini memberi manfaat besar kepada lebih kurang seribu empat ratus (1400) buah rumah dan menampung permintaan bekalan air terawat yang semakin meningkat sekaligus menambahbaik sistem bekalan air sedia ada dengan lebih konsisten di Daerah Song.
Selain itu, projek ini juga akan memberi manfaat kepada lapan (8) buah rumah panjang dan sebuah (1) sekolah setelah projek saluran paip dan pembinaan stesen pam penggalak di bawah kendalian Upper Rajang Development Agency (URDA) siap dilaksanakan nanti.

Bagi menjamin bekalan air terawat yang berkualiti dan berterusan di Bahagian Kapit, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.