Event

 

PELAN PENGURUSAN RISIKO RASUAH JBALB SARAWAK DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN INTEGRITI

04 Nov 2025 - 04 Nov 2025, RH Hotel Sibu
JBALB Integrity
PELAN PENGURUSAN RISIKO RASUAH JBALB SARAWAK DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN INTEGRITI

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak hari ini melancarkan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik di sektor perkhidmatan awam negeri.

Pelan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersempena Sambutan Hari integriti JBALB Sarawak 2025 dirangka bertujuan untuk mengenal pasti, menilai serta mengurus potensi risiko rasuah dalam operasi dan proses kerja JBALB Sarawak.

Menurut Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak, langkah ini seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg untuk membudayakan integriti dan akauntabiliti dalam setiap agensi negeri.

Pelaksanaan pelan ini menandakan satu anjakan penting dalam memperkukuh pengoperasian JBALB sebagai sebuah Jabatan Teknik. 

Pelan Pengurusan Risiko Rasuah JBALB memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk; perolehan dan pengurusan kontrak, pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, pengurusan projek dan aset awam serta tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan.

Dengan pelancaran ini, JBALB Sarawak terus komited untuk melaksanakan perkhidmatan bekalan air yang bersih, selamat dan mampan, berpaksikan prinsip integriti sebagai pemacu organisasi progresif. 

Turut menghadiri majlis Sambutan Hari Integriti JBALB Sarawak ini ialah Yang Berhormat Dato Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda bin Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) dan Tuan Haji Abang Mohamad Porkan, Residen Bahagian Sibu.