PROJEK PEMBINAAN ”ACUTE SYSTEM” DI LOJI RAWATAN AIR LICHOK KINI MULA BEROPERASI SEPENUHNYA
01 Nov 2025 - 01 Nov 2025,
Loji Rawatan Air Lichok Betong
Kementerian Utiliti & Telekomunikasi Sarawak
PROJEK PEMBINAAN ”ACUTE SYSTEM” DI LOJI RAWATAN AIR LICHOK KINI MULA BEROPERASI SEPENUHNYA
Satu majlis perasmian Projek 'Acute System' yang disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah diadakan pada hari ini, 1 November 2025 (Sabtu) bertempat di Loji Rawatan Air Lichok.
Ketibaan beliau disambut oleh YBhg. Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak bersama Encik Ts. Ahmad Selihin bin Che Said (Timbalan Pengarah - Operasi).
Turut hadir bersama YB Menteri adalah YB Senator Tuan Pele Peter Tinggom (Ahli Dewan Negara), YB Dato Mohd Chee Kadir (ADUN N.40 Kabong), YB Tuan Haji Mohamad bin Duri (ADUN N.39 Krian), YB Encik Friday anak Belik (ADUN N.39 Krian), Puan Malseni binti Jamal (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd), pegawai-pegawai daerah ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat serta pegawai dan kakitangan yang terlibat daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, JBALB Bahagian Betong.
Setelah ketibaan YB Menteri di tapak tersebut, beliau telah dibawa ke tapak pameran projek untuk mendapat perkembangan terkini berkenaan projek pembinaan 'Acute System' yang telah disampaikan oleh Encik Ir. Ts. Tay Chiaw Teck selaku Jurutera Air Bahagian JBALB Betong.
Seusai taklimat projek, YB Menteri serta rombongan terus ke pentas utama untuk menyempurnakan majlis perasmian dan seterusnya meninjau di sekitar kawasan tapak projek 'Acute System' tersebut.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana telah berjaya menyiapkan projek pembinaan 'Acute System' di Loji Rawatan Air Lichok bernilai sekitar RM28.8 Juta yang mula dilaksanakan pada bulan Februari 2025 dan telah mula beroperasi sepenuhnya.
Projek pembinaan 'Acute System' yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti sepuluh (10) Juta Liter Sehari (JLH) dan pemasangan saluran paip baharu jenis HDPE bersaiz 450mm sepanjang 5 km dari Loji Rawatan Air Lichok ke Tangku Air Bukit Lebur.
Pelaksanaan projek tersebut memberi manfaat besar kepada lebih kurang 6,700 buah rumah dan menampung permintaan bekalan air terawatt yang semakin meningkat sekaligus menambahbaiksistem bekalan air sedia ada dengan lebih konsisten di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Kalaka, dan Krian
Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Betong, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.