PROGRAM LIBAT URUS DIPERKASA, PENYAMPAIAN UTILITI UNTUK RAKYAT DIPERTINGKAT
Posted on 11 Aug 2026
PROGRAM LIBAT URUS DIPERKASA, PENYAMPAIAN UTILITI UNTUK RAKYAT DIPERTINGKAT



Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) hari ini telah dijemput untuk menghadiri Program Libat Urus Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2026 yang berlangsung hari ini.
Program tersebut buat julung kali diadakan anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berlangsung selama 2 hari iaitu 11 dan 13 Ogos 2026 bertempat di Imperial Hotel Kuching turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada YAB Premier Sarawak serta wakil Pejabat Residen, yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama, menyelami keperluan rakyat dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan utiliti di seluruh Sarawak.
Program yang disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Julaihi Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, menghimpunkan wakil-wakil daripada pelbagai agensi utiliti bagi berkongsi perkembangan, memperjelas isu serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada para peserta.
Tuan Ir. Ts. Haji Tamida bin Haji Da'adi, Timbalan Pengarah (Pembangunan) yang mewakili Pengarah JBALB Sarawak telah menyampaikan taklimat berkaitan bekalan air, dan turut disusuli dengan sesi soal jawab, membuka ruang interaksi dua hala bagi membincangkan perkara berkaitan penyampaian perkhidmatan bekalan air.
Turut hadir bersama dalam program tersebut ialah barisan pengurusan tertinggi JBALB serta Jurutera-Jurutera Air Bahagian.
Selain bekalan air, program turut merangkumi taklimat berkaitan pengedaran gas, telekomunikasi dan bekalan elektrik, sekali gus mencerminkan pendekatan bersepadu Kerajaan Sarawak dalam memastikan perkhidmatan utiliti terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Bagi JBALB Sarawak, sesi libat urus seperti ini merupakan platform penting untuk mendengar, memahami dan bertindak terhadap keperluan serta maklum balas di lapangan, selaras dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Sarawak.