Announcement

 

JBALB SARAWAK LANCAR BUKU DATA PANDUAN EDISI PERTAMA

Posted on 09 Mar 2026
JBALB SARAWAK LANCAR BUKU DATA PANDUAN EDISI PERTAMA

w

w



 Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak hari ini melancarkan sebuah buku data panduan edisi pertama bertajuk “Kitak Tauk Sik?”, sebuah penerbitan khas yang menghimpunkan maklumat asas dan fakta penting berkaitan sistem bekalan air luar bandar di Sarawak bersempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat JBALB Sarawak Tahun 2026.

Buku ini diterbitkan sebagai satu usaha untuk menyediakan sumber rujukan yang komprehensif dan mudah difahami mengenai infrastruktur bekalan air yang dikendalikan oleh JBALB Sarawak, khususnya melibatkan loji-loji rawatan air serta rangkaian paip utama yang membekalkan air terawat kepada rakyat di seluruh negeri Sarawak.

Edisi pertama buku “Kitak Tauk Sik?” memberi tumpuan kepada maklumat berkaitan loji rawatan air di bawah kendalian JBALB Sarawak, termasuk kapasiti loji, lokasi, serta peranan loji-loji tersebut dalam memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk luar bandar. 

Penghasilan buku ini merupakan sebahagian daripada usaha jabatan untuk meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai sistem bekalan air yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak melalui JBALB.

Selain itu, buku ini bukan sahaja berguna kepada warga kerja JBALB sebagai bahan rujukan dalaman, malah turut boleh dimanfaatkan oleh agensi kerajaan, pemegang taruh, pengkaji, pelajar serta masyarakat umum yang ingin mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai pembangunan infrastruktur bekalan air di Sarawak.

Pelancaran buku ini juga mencerminkan komitmen berterusan JBALB Sarawak dalam memperkukuhkan pengurusan maklumat, dokumentasi aset serta perkongsian ilmu, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan pengurusan utiliti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

JBALB Sarawak berharap penerbitan “Kitak Tauk Sik?” Edisi Pertama ini dapat menjadi panduan dan rujukan berguna kepada pelbagai pihak, selain menjadi langkah permulaan kepada penerbitan edisi-edisi seterusnya yang akan memaparkan lebih banyak maklumat berkaitan pembangunan dan pengurusan sistem bekalan air di Sarawak.