JBALB SARAWAK PERLUAS LIPUTAN AIR BERSIH, USAHA KURANGKAN NRW DIPERKASAKAN
Posted on 18 Mar 2025
Source of News: RTM

JBALB SARAWAK PERLUAS LIPUTAN AIR BERSIH, USAHA KURANGKAN NRW DIPERKASAKAN
KUCHING, 18 Mac: Liputan bekalan air bersih di kawasan luar bandar telah mencapai 70.5%.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan memaklumkan secara keseluruhan, termasuk kawasan bandar, kadar liputan air bersih berada pada 85.4%.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Penggantian Paip bernilai RM1.1 bilion telah diluluskan, dengan RM558 juta diperuntukkan kepada JBALB bagi pelaksanaan 420 projek.
Antara kawasan tumpuan utama ialah Bahagian Sarikei, yang mempunyai banyak paip lama berusia lebih 50 tahun. Sekitar 300 kilometer paip di kawasan ini akan diganti sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
Buat masa ini, kadar NRW JBALB berada pada 59%, jauh lebih tinggi berbanding purata negeri Sarawak iaitu 43-45%.
Melalui program penggantian paip, JBALB menyasarkan untuk menurunkan kadar NRW ke bawah 30% dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun lalu, JBALB berjaya mengurangkan jumlah projek sakit daripada 39 kepada 15 projek.
"Dengan pelaksanaan program penggantian paip ini, kami yakin masalah NRW yang tinggi dapat ditangani secara berkesan. Ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan bekalan air, tetapi juga mengurangkan pembaziran sumber yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat," katanya.
Tambah beliau, JBALB juga komited dalam meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan setiap projek berjalan lancar demi kesejahteraan penduduk.