JBALB SARAWAK KOMITED BEKAL AIR BERSIH DAN MENCUKUPI MENJELANG 2030
Posted on 18 Mar 2025
Source of News: RTM

JBALB SARAWAK KOMITED BEKAL AIR BERSIH DAN MENCUKUPI MENJELANG 2030
KUCHING, 18 Mac: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menekankan komitmennya untuk memastikan bekalan air bersih dan mencukupi kepada seluruh negeri menjelang 2030.
Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan berkata, antara langkah utama yang diambil termasuk pembangunan Sistem Grid Air Negeri Sarawak, pembinaan loji rawatan air baharu, serta pelaksanaan projek penggantian paip bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).
"Kami komited untuk memastikan bekalan air bersih dan mencukupi kepada seluruh negeri menjelang 2030 melalui pembangunan Sistem Grid Air Negeri Sarawak serta pelbagai inisiatif lain," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025, Peringkat JBALB Sarawak di Kuching hari ini.
Menurutnya, meskipun Sarawak mempunyai sumber air yang banyak, cabaran dalam penyediaan bekalan air bersih ke kawasan luar bandar masih wujud. Oleh itu, JBALB Sarawak akan memanfaatkan teknologi pintar dan pendigitalan, termasuk sistem pemantauan sumber air serta aplikasi aduan pengguna.
Sejajar dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan air secara berhemat dan mampan, JBALB Sarawak turut melancarkan program Jom Jimat Air Bersama Komuniti 2025.
"Melalui program ini, kami berharap dapat mendidik masyarakat tentang kepentingan penjimatan air dan pengurusan sumber air yang mampan," katanya.
Program ini bertujuan mendidik masyarakat tentang amalan penjimatan air melalui pelbagai aktiviti, termasuk seminar kesedaran air, penyebaran bahan pendidikan, pertandingan kreatif bertemakan penjimatan air, serta kerjasama dengan institusi pendidikan dan NGO dalam mencari penyelesaian inovatif untuk pengurusan air.