News

 

PROJEK BEKALAN AIR DI KAMPUNG TROMBOL DAN KAMPUNG NYABUT KINI SIAP SEPENUHNYA

Posted on 01 Mar 2025
Source of News: RTM

PROJEK BEKALAN AIR DI KAMPUNG TROMBOL DAN KAMPUNG NYABUT KINI SIAP SEPENUHNYA

TELAGA AIR, 1 Mac 2025 - Penduduk Kampung Trombol dan Kampung Nyabut di Telaga Air, Kuching kini dapat menikmati bekalan air bersih setelah Projek Bekalan Air bagi perkampungan tersebut siap sepenuhnya November tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, projek bernilai 4-juta ringgit tersebut dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Dengan siapnya projek tersebut, sebanyak 17 buah isi keluarga di Kampung Trombol dan 119 buah isi keluarga di perkampungan baharu di Kampung Nyabut, akan mendapat manfaat daripada bekalan air bersih tersebut, manakala beberapa penduduk kediaman baharu di Kampung Nyabut disaran untuk berurusan dengan Lembaga Air Kuching bagi pemasangan meter air di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, sejumlah 4.6 bilion ringgit telah diperuntukan oleh kerajaan negeri bagi perlaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak yang melibatkan 407 projek diseluruh Sarawak.

Daripada jumlah tersebut, 289 projek bekalan air telah siap sepenuhnya manakala baki 79 projek lagi masih dalam pelbagai peringkat perlaksanaan.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukan sejumlah 1.1 bilion ringgit bagi projek penggantian paip-paip lama diseluruh negeri dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air sedia ada.

Beliau yang juga ADUN Pantai Damai, berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Bagi Kampung Nyabut dan Kampung Trombol di Telaga Air hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Tetap MUT, Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pengarah JBALB, Insinyur Teknologis Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, dan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching, Insinyur Rodziah Mohamad. -Tamat
​​​​​​