News

 

Projek naik taraf sistem bekalan air Pulau Bruit kini capai 91.08 peratus - TVS

Posted on 26 Jun 2024
Source of News: TVS

MUKAH, 25 Jun: Projek naik taraf sistem bekalan air di Pulau Bruit kini mencapai kemajuan fizikal 91.08 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, ketika ini kontraktor sedang menjalankan pengujian dan pentauliahan ke atas komponen projek yang sudah siap, seperti stesen pam penggalak di Serdeng dan Saai sebelum kompenen berkenaan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
 

Katanya, Lembaga Air Sibu (LAS) merupakan agensi pelaksana projek Program Grid Bekalan Air – Kawasan Tumpuan Cadangan Bekalan Air Sarawak bahagian Mukah di sini.

“Projek ini pada asalnya mengambil masa 18 bulan, bermula pada 22 Oktober 2020 dan siap asalnya pada 21 April 2022.

“Namun disebabkan pandemik COVID-19 masalah logistik, kekurangan air untuk pengujian dan pentauliahan, dan kelewatan Kontraktor, projek dijangka akan siap pada suku ketiga tahun ini,” katanya ketika melakukan tinjauan ke atas tapak projek hari ini.

Beliau mendedahkan, nilai skim projek yang diluluskan untuk kerja pembinaan dan penyeliaan tapak ialah RM84.4 juta.

Julaihi memberitahu, kawasan Pulau Bruit di bawah bidang kuasa JBALB Mukah, telah mengalami masalah gangguan air, terutamanya di kawasan utara Pulau Bruit termasuk Kampung Penipah Kampung Tekajung, dan Kampung Bruit, disebabkan kekurangan air terawat.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif membiayai kos keseluruhan projek sebagai penyelesaian jangka panjang untuk isu berkenaan.

Beliau berkata, dengan siapnya sepenuhnya projek itu nanti, JBALB dapat memenuhi keperluan air yang semakin meningkat di Pulau Bruit, sehingga tahun 2040, yang dijangka mampu menampung populasi sehingga 16,600 di kawasan berkenaan.

“Cadangan Bekalan Air Ke Pulau Bruit diperoleh secara tender terbuka sebelum dianugerahkan kepada Kontraktor, Mirecont Sdn. Bhd pada 25 September 2020 dengan harga kontrak sebanyak RM64,380,388.

Hadir sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol. – TVS


https://www.tvsarawak.my/2024/06/25/projek-naik-taraf-sistem-bekalan-air-pulau-bruit-kini-capai-91-08-peratus-julaihi/