MAJLIS PERASMIAN PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SUNGAI SADIT BAHAGIAN SIBU
13 May 2025 - 13 May 2025,
Tapak Projek Sungai Sadit Sibu
JBALB Sibu, MUT, Sibu Water Board
MAJLIS PERASMIAN PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SUNGAI SADIT BAHAGIAN SIBU
Pada petang tadi (13 Mei 2025), satu Majlis Perasmian Projek 'Aute System' yang disempurnakan oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi telah diadakan bertempat di Tapak Projek 'Acute System' Sungai Sadit.
Ketibaan beliau disambut oleh Tuan Pengarah JBALB, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan.
Turut hadir bersama YB Menteri adalah YB Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN N.53 Bawang Assan), YBhg. Datu Jafri bin Lias (Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), YB Encik Joseph Chieng Jin Ek (ADUN N.51 Bukit Assek), YBrs. Encik Haji Abang Mohamad Porkan (Residen Bahagian Sibu), YBrs. Encik Abdul Malik Abdullah @ Itin Langit (Pengurus Besar Lembaga Air Sibu), ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat serta pegawai dan kakitangan yang terlibat daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, JBALB Bahagian Sibu dan Lembaga Air Sibu.
Setelah ketibaan YB Menteri di tapak tersebut, beliau telah dibawa ke tapak pameran projek untuk mendapat perkembangan terkini berkenaan projek pembinaan 'Acute System' yang telah disampaikan oleh Puan Ts. Sally Tang Nga Lin selaku Jurutera Air Bahagian Sibu.
Seusai taklimat projek, YB Menteri serta rombongan terus ke pentas utama untuk menyempurnakan majlis perasmian dan seterusnya meninjau di sekitar kawasan tapak projek 'Acute System' tersebut.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana telah berjaya menyiapkan projek pembinaan 'Acute System' di Sg. Sadit bernilai sekitar RM5 Juta yang mula dilaksanakan pada bulan September 2024 dan telah beroperasi sepenuhnya.
Projek pembinaan 'Acute System' yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti empat (4) Juta Liter Sehari dan pemasangan saluran paip baharu ke paip agihan sedia ada. Projek ini telah memberi manfaat besar kepada penduduk di Sg. Sadit dan kawasan sekitar DUN Bawang Assan sekaligus membantu pihak Lembaga Air Sibu dalam menyelesaikan isu bekalan air di kawasan berkenaan.
Pelaksanaan projek tersebut yang juga merupakan sebahagian daripada Pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Bekalan Air merupakan inisiatif jangka panjang Kerajaan Sarawak yang telah diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak untuk menyelesaikan dan menangani isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sibu, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.