SANTUNI PEMIMPIN DAN MASYARAKAT DAERAH MUKAH, JBALB KOMITED PERTINGKATKAN PERKHIDMATAN - 11 Nov 2025
SANTUNI PEMIMPIN DAN MASYARAKAT DAERAH MUKAH, JBALB KOMITED PERTINGKATKAN PERKHIDMATAN

Siri jelajah Program Hari Bersama Pelanggan (HBP) JBALB Sarawak anjuran Cawangan Komunikasi Korporat Ibu Pejabat JBALB Sarawak telah diadakan pada hari ini, 11 November 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahaagian Mukah. Program ini merupakan jelajah HBP ke-8 pihak jabatan turun padang untuk bersemuka bersama pemimpin dan masyarakat setempat.

Turut hadir bersama dalam memeriahkan program hari ini tadi adalah Encik Peleadzman anak Ahip, selaku Pegawai Daerah Mukah.

Encik Ir. Ts. Anwarul Adzizi Adeni (Ketua Penolong Pengarah - Transformasi Digital) juga turut hadir bersama dalam program tersebut.

Taklimat ringkas berkenaan JBALB Sarawak telah disampaikan oleh Encik Awang Fardillah Awang Hussin (Ketua Penolong Pengarah - Komunikasi Korporat). Seterusnya, taklimat berkenaan perkembangan terkini pengoperasian dan pembangunan JBALB Bahagian Mukah telah disampaikan oleh Encik Ts. Norrisson Sanggau anak Mathiew Paran selaku Penolong Jurutera Air Bahagian.

Program turun padang ini melibatkan ketua kampung/ketua masyarakat di Bahagian Mukah yang bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan JBALB dengan masyarakat setempat melalui sesi perkhidmatan pelanggan, pameran serta perkongsian maklumat oleh rakan strategik.

Setinggi penghargaan kepada penceramah dan juga agensi-agensi yang terlibat dalam pameran perkhidmatan daripada pihak Service Sarawak SCSDU, Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS), dan Bank Simpanan Nasional (ejen BSN).
DUA (2) PROJEK BEKALAN AIR BERIMPAK TINGGI MULA DILAKSANAKAN DI DAERAH LUNDU-SEMATAN - 08 Nov 2025
DUA (2) PROJEK BEKALAN AIR BERIMPAK TINGGI MULA DILAKSANAKAN DI DAERAH LUNDU-SEMATAN

Hari ini tadi, YB Dato Sri Haji Julaihi Bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah melakukan lawatan kerja dan menyaksikan majlis penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Lundu Baharu dan Projek Bekalan Air Wilayah Lundu-Sematan bertempat di Simpang Biawak, Lundu.

Majlis ini juga dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy Binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Encik
Billy Anak Sujang, ADUN N1-Opar, Yang Berhormat Encik Azizul Annuar Bin Pehin Sri Haji Adenan, ADUN N3 Tanjong Datu, Yang Berbahagia Datu Jafri Lias
Setiausaha Tetap, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Bin Awang Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak.

Terlebih dahulu taklimat projek disampaikan oleh Ir. Ts. Awang Muhammad Ayahtullah, Jurutera Air Bahagian Kuching (JBALB) disusuli dengan simbolik penyerahan tapak projek. 

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan sistem bekalan air di Daerah Lundu/Sematan sentiasa ditambahbaik dan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan tersebut sekaligus menambah liputan air terawat. Keprihatinan ini telah dizahirkan melalui pelaksanaan dua (2) projek bekalan air berimpak tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak bernilai sekitar RM256 Juta.

Bagi projek pembinaan loji rawatan air baharu Lundu ini, ia dilaksanakan secara tender melibatkan kos bernilai sekitar RM112 juta dengan skop pembinaan meliputi pembinaan loji air berkapasiti 20 Juta Liter Sehari, pembinaan stesen muka sauk, serta pembinaan bangunan pentadbiran, bangunan simpanan bahan kimia dan rumah pam. 

Selain itu, ia juga melibatkan pemasangan saluran paip air mentah sepanjang 1.5km, pemasangan saluran paip air terawat grid sepanjang 4.5km ke Simpang Biawak dan pemasangan saluran paip sepanjang 6km dari Simpang Biawak ke Stesen Pam Penggalak Bagak. 

Apabila projek ini siap menjelang tahun 2028 nanti, ia akan menambahbaik dan membekalkan bekalan air terawat kepada pengguna sedia ada dan pengguna baharu di Daerah Lundu-Sematan.

Manakala bagi Projek Bekalan Air Wilayah Lundu-Sematan, ia juga dilaksanakan menerusi tender melibatkan kos pembinaan dianggarkan sekitar RM144 Juta yang meliputi skop pembinaan empat (4) stesen pam penggalak iaitu Telok Melano No.1, Telok Melano No. 2, Sematan dan Opek serta pembinaan empat (4) tangki simpanan air masing-masing di Telok Melano berkapasiti 4 Juta Liter, di Sematan berkapasiti 4.5 Juta liter, di Sedaing dengan kapasiti 2 Juta Liter dan di Pasir Ulu berkapasiti 3 Juta Liter. Selain itu, skop projek ini juga melibatkan pembinaan saluran paip pelbagai saiz sepanjang 77km (paip grid bersaiz 350mm ke 800mm ND) dan sepanjang 25km (paip air bersaiz 160mm ke 400mm OD) serta pemasangan saluran paip komunikasi ke 1,176 buah rumah sepanjang lebih kurang 58.8km. 

Projek yang telah bermula pada bulan September 2025 ini dijangka siap pada suku ketiga tahun 2028, dan ia bakal menyalurkan bekalan air terawat ke kawasan yang masih belum menerima bekalan air dan merupakan sebahagian daripada projek sistem grid bekalan air Sarawak.

Bagi menjamin bekalan air terawat yang berkualiti dan berterusan di Daerah Lundu-Sematan, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.

 
THE DIRECTOR PICKLEBALL CHALLENGE 2025 - JBALB KUCHING DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN - 08 Nov 2025
THE DIRECTOR PICKLEBALL CHALLENGE 2025 - JBALB KUCHING DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN

Kejohanan Pikabol Piala Datu Pengarah JBALB hari ini 'The Director Pickleball Challenge 2025' telah dijuarai oleh pasukan dari JBALB Bahagian Kuching apabila mengungguli juara keseluruhan yang berlangsung di MUSC Pickleball Arena, Kuching.

Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak berkesempatan hadir ke majlis penutupan sekaligus menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Beliau sebelum itu berada di Daerah Lundu bagi menghadiri majlis perasmian dan penyerahan projek bekalan air oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Menurut Yang Berbahagia Datu Pengarah, kejohanan ini bukan sahaja boleh merapatkan silaturrahim malahan ia menjadi platform kepada pembinaan sebuah kerja berpasukan yang mantap. Oleh itu, beliau turut mencadangkan kejohanan sebegini bukan sahaja diadakan untuk sukan pikabol, tetapi boleh melibatkan sukan-sukan yang lain.

Turut hadir dalam majlis penutupan ini tadi ialah Ts. Ahmad Selihin bin Che Said (Timbalan Pengarah Operasi), Ir. Ts. Kueh Li Li (Timbalan Pengarah Khidmat Teknikal) dan Ir. Ts. Tie Tung Ing (Pengurus Kualiti) serta Ir. Ts. Qairuniza (Jurutera Air JBALB Bahagian Serian) selaku penganjur bersama.

Lain-lain keputusan adalah seperti berikut:

Kategori VIP:
Johan: Ir. Ts Qairuniza dan Ts. Fadzren

Kategori Men's Double:
Johan: JBALB Bahagian Kuching
Naib Johan: JBALB Ibu Pejabat
Ketiga: JBALB Bahagian Kuching

Kategori Women's Double:
Johan: JBALB Bahagian Limbang
Naib Johan: JBALB Bahagian Serian
Ketiga: JBALB Bahagian Sri Aman

Kategori Campuran:
Johan: JBALB Bahagian Serian
Naib Johan: JBALB Bahagian Kuching
Ketiga: JBALB Ibu Pejabat
WARGA KERJA SIHAT, PRESTASI PERKHIDMATAN UNGGUL - 08 Nov 2025
WARGA KERJA SIHAT, PRESTASI PERKHIDMATAN UNGGUL

Hari ini pihak Ibu Pejabat dengan kerjasama JBALB Bahagian Serian menganjurkan 'The Director Pickleball Challenge 2025' bersempena dengan Program JBALB Sihat 2025.
Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak berkesempatan hadir merasmikan kejohanan yang diadakan di MUSC Arena, Kuching.
Menurut Yang Berbahagia Datu Pengarah, acara sukan sebegini adalah amat baik bagi mengekalkan kesihatan warga kerja JBALB dan akhirnya memberi impak kepada prestasi perhidmatan yang unggul.

Acara sebegini juga boleh memangkin kepada semangat berpasukan yang tinggi.

Sebanyak 5 pasukan dari JBALB Ibu Pejabat, Rakan JBALB Bahagian Kuching, Rakan JBALB Bahagian Samarahan Rakan JBALB Bahagian Serian, Rakan JBALB Bahagian Sri Aman dan Rakan JBALB Bahagian Limbang berentap bagi merebut kejuaraan Piala Datu Pengarah pada kali ini.
LOJI RAWATAN AIR KAPIT BERKAPASITI 28.5 JUTA LITER SEHARI NADI UTAMA BEKALAN AIR KEPADA PENDUDUK DAERAH KAPIT - 06 Nov 2025
LOJI RAWATAN AIR KAPIT BERKAPASITI 28.5 JUTA LITER SEHARI NADI UTAMA BEKALAN AIR KEPADA PENDUDUK DAERAH KAPIT

Di sela Mesyuarat SDCCM di Bahagian Kapit hari ini, Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkesempatan membuat lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kapit.

Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak dan Encik Andres Inchatekoster, Jurutera Air JBALB Bahagian Kapit. Turut hadir ialah Puan Ir. Ts. Kueh Li Li, Timbalan Pengarah (Khidmat Teknikal).

Beliau seterusnya diberikan taklimat berkenaan pengoperasian loji rawatan air tersebut dan dibawa melawat sekitarnya.

Loji Rawatan Air Kapit yang berkapasiti 28.5 Juta Liter Sehari merupakan nadi utama kepada bekalan air bersih dan terawat di Daerah Kapit.

Loji ini telah melalui proses penaiktarafan agar saluran bekalan air ditambahbaik dan dipertingkatkan.
PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SONG KINI SUDAH BEROPERASI, BERI MANFAAT KEPADA 1400 BUAH RUMAH - 05 Nov 2025
PROJEK 'ACUTE SYSTEM' SONG KINI SUDAH BEROPERASI, BERI MANFAAT KEPADA 1400 BUAH RUMAH

Pada petang ini tadi, Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama rombongan telah melakukan lawatan kerja ke Loji 'Acute System' yang terletak di Loji Rawatan Air Song. Ketibaan beliau disambut oleh Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak dan Encik Andres Inchatekoster, Jurutera Air JBALB Bahagian Kapit.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Liwan Lagang (Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), Yang Berhormat Encik Lidam anak Assan (ADUN N.62 Katibas) dan Yang Berbahagia Datu Jafri Lias (Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak).

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan sistem bekalan air di Daerah Song sentiasa ditambahbaik dan dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan tersebut.

Bagi projek pembinaan ”Acute System” di Loji Rawatan Air Song, ia kini sudah siap dilaksanakan sepenuhnya dan telah mula beroperasi. Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini telah bermula pada bulan Februari 2025 dengan kos bernilai sekitar RM14 Juta dengan melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti empat (4) Juta Liter Sehari (JLH).

Pelaksanaan projek ini memberi manfaat besar kepada lebih kurang seribu empat ratus (1400) buah rumah dan menampung permintaan bekalan air terawat yang semakin meningkat sekaligus menambahbaik sistem bekalan air sedia ada dengan lebih konsisten di Daerah Song.
Selain itu, projek ini juga akan memberi manfaat kepada lapan (8) buah rumah panjang dan sebuah (1) sekolah setelah projek saluran paip dan pembinaan stesen pam penggalak di bawah kendalian Upper Rajang Development Agency (URDA) siap dilaksanakan nanti.

Bagi menjamin bekalan air terawat yang berkualiti dan berterusan di Bahagian Kapit, JBALB Sarawak akan berusaha memastikan projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan sekaligus memperluaskan liputan bekalan air dan menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
SISTEM BEKALAN AIR DI DAERAH SONG DIPERTINGKATKAN - 05 Nov 2025
SISTEM BEKALAN AIR DI DAERAH SONG DIPERTINGKATKAN

Pagi ini tadi satu sesi taklimat berkenaan sistem utiliti dan telekomunikasi telah diadakan di Pejabat Daerah Song bersempena dengan Lawatan Kerja Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak ke Daerah Song, Bahagian Kapit.

Melalui taklimat yang telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah bin Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak dan Encik Andres Inchatekoster, Jurutera Air JBALB Bahagian Kapit, pelbagai projek bekalan air kini sedang dan bakal dilaksanakan di Daerah Song termasuk projek-projek SAWAS.

Projek-projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak sudah tentunya akan memberi manfaat besar kepada penduduk di Daerah Song.

Turut hadir bersama dalam lawatan kerja ini ialah YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi ), YB Encik Lidam anak Assan, ADUN N.62 Katibas dan Yang Berbahagia Datu Jafri Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
PELAN PENGURUSAN RISIKO RASUAH JBALB SARAWAK DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN INTEGRITI - 04 Nov 2025
PELAN PENGURUSAN RISIKO RASUAH JBALB SARAWAK DILANCARKAN BAGI MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN INTEGRITI

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak hari ini melancarkan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memperkukuh integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik di sektor perkhidmatan awam negeri.

Pelan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersempena Sambutan Hari integriti JBALB Sarawak 2025 dirangka bertujuan untuk mengenal pasti, menilai serta mengurus potensi risiko rasuah dalam operasi dan proses kerja JBALB Sarawak.

Menurut Yang Berbahagia Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak, langkah ini seiring dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg untuk membudayakan integriti dan akauntabiliti dalam setiap agensi negeri.

Pelaksanaan pelan ini menandakan satu anjakan penting dalam memperkukuh pengoperasian JBALB sebagai sebuah Jabatan Teknik. 

Pelan Pengurusan Risiko Rasuah JBALB memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk; perolehan dan pengurusan kontrak, pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, pengurusan projek dan aset awam serta tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan.

Dengan pelancaran ini, JBALB Sarawak terus komited untuk melaksanakan perkhidmatan bekalan air yang bersih, selamat dan mampan, berpaksikan prinsip integriti sebagai pemacu organisasi progresif. 

Turut menghadiri majlis Sambutan Hari Integriti JBALB Sarawak ini ialah Yang Berhormat Dato Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda bin Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi) dan Tuan Haji Abang Mohamad Porkan, Residen Bahagian Sibu.
 
12345678910NextLast