ISU BEKALAN AIR DI SAMARAHAN, JBALB DAN SARAWAK WATER CARI PENYELESAIAN BERSAMA - 04 Feb 2026
ISU BEKALAN AIR DI SAMARAHAN, JBALB DAN SARAWAK WATER CARI PENYELESAIAN BERSAMA

Satu mesyuarat khas telah diadakan bagi membincangkan isu bekalan air di kawasan Samarahan sebagai usaha bersepadu ke arah penyelesaian yang menyeluruh dan mampan demi kepentingan rakyat.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datu Jafri Lias, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, bersama Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak serta Puan Malseni binti Jamal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn. Bhd.

Perbincangan memfokuskan kepada penilaian situasi semasa, cabaran teknikal yang dihadapi serta langkah-langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara bersama antara JBALB Sarawak dan Sarawak Water bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil dan berterusan kepada penduduk terlibat.

Kerjasama erat antara agensi ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan isu bekalan air ditangani secara proaktif, bersepadu dan berfokuskan kesejahteraan rakyat.
YAB PREMIER SARAWAK RASMI MAJLIS TILAWAH, PENGARAH JBALB HADIR MERIAH SUASANA - 04 Feb 2026
YAB PREMIER SARAWAK RASMI MAJLIS TILAWAH, PENGARAH JBALB HADIR MERIAH SUASANA

YAB Premier Sarawak telah menyempurnakan perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kali Ke-65 Peringkat Sarawak Tahun 1447H / 2026M yang berlangsung dengan penuh tertib, penghayatan dan semangat ukhuwah di Serian Conference Centre.

Majlis berprestij ini bukan sahaja menjadi medan memartabatkan syiar Islam, malah memperkukuh penghayatan Al-Quran dalam membentuk ummah berilmu dan berakhlak, sejajar dengan tema “Ummah Maju Makmur: Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam”.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah JBALB Sarawak, sebagai tanda sokongan padu JBALB Sarawak terhadap penganjuran program keagamaan yang menyatukan masyarakat serta menyuburkan nilai kerohanian dan perpaduan di negeri ini.

Semoga penganjuran majlis ini terus menjadi pemangkin kecemerlangan ummah serta melahirkan generasi berteraskan Al-Quran yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing.

Turut hadir bersama Tuan Pengarah adalah pegawai-pegawai JBALB Bahagian Serian.

Rakan JBALB Bahagian Serian
MAJLIS MAKAN MALAM PERKUKUH HUBUNGAN, PENGARAH JBALB TURUT HADIR - 03 Feb 2026
MAJLIS MAKAN MALAM PERKUKUH HUBUNGAN, PENGARAH JBALB TURUT HADIR

Yang Berusaha Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) telah menghadiri Majlis Makan Malam Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 malam ini di Hotel Hilton Kuching.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh YB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak serta Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia.

Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen dan dedikasi tinggi Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya berkaitan hal ehwal perkhidmatan awam di Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PENGARAH JBALB JUMPA WARGA KERJA BINTULU, NASIHAT KERJA SEBAGAI SATU PASUKAN - 02 Feb 2026
PENGARAH JBALB JUMPA WARGA KERJA BINTULU, NASIHAT KERJA SEBAGAI SATU PASUKAN

Siri jelajah sesi libat urus Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah JBALB Sarawak diteruskan hari ini menerusi jelajah kedua bersama warga kerja JBALB Bahagian Bintulu.

Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka itu, Tuan Pengarah menekankan bahawa kekuatan JBALB terletak pada semangat kerja berpasukan, saling menyokong serta keupayaan bergerak seiring sebagai satu keluarga organisasi.

Beliau turut mengingatkan bahawa budaya kerja yang sihat bermula dengan rasa hormat kepada kepimpinan dan struktur organisasi, kerana kepimpinan yang dihormati akan melahirkan pasukan yang lebih tersusun, berdisiplin dan berkesan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

Menurut beliau, setiap warga JBALB mempunyai peranan penting, dan kejayaan organisasi tidak akan dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kesepaduan, komunikasi yang baik serta kepercayaan antara satu sama lain.

Sesi libat urus ini turut menjadi platform untuk Tuan Pengarah mendengar pandangan, cabaran dan cadangan warga kerja di peringkat bahagian, selaras dengan hasrat beliau untuk membina hubungan yang lebih rapat dan berasaskan kepercayaan di seluruh JBALB Sarawak.

Sesi taklimat berkenaan perkembangan terkini JBALB Bahagian Bintulu telah disampaikan oleh Encik Lai Kien Hong, Jurutera Air JBALB Bahagian Bintulu.

Turut hadir bersama Tuan Pengarah adalah Tuan Haji Tamida Da'adi (Timbalan Pengarah Pembangunan), Puan Ir. Ts. Kueh Li Li (Timbalan Pengarah Khidmat Teknikal), Encik Ts. Aaron Gorino (KPP Pengagihan), Puan Nurul Azzah Binti Zainal (KPP Sumber Manusia ) & Encik Awang Fardillah Awang Hussin (KPP Komunikasi Korporat).

Siri jelajah ini akan diteruskan ke bahagian-bahagian lain sebagai sebahagian daripada komitmen kepimpinan untuk memperkukuh pasukan, memantapkan penyampaian perkhidmatan dan memastikan JBALB terus bergerak seiring aspirasi Kerajaan Sarawak.
JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN, PENGARAH JBALB SARAN DIPERTINGKATKAN BUAT WARGA KERJA - 02 Feb 2026
JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN, PENGARAH JBALB SARAN DIPERTINGKATKAN BUAT WARGA KERJA

Yang Berusaha Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan JBALB Bil. 1/2026 yang berlangsung petang ini di Pejabat JBALB Bahagian Bintulu.

Dalam mesyuarat tersebut, Tuan Pengarah menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sebagai asas kepada persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif buat seluruh warga kerja JBALB.

Beliau turut menyarankan agar pelaksanaan inisiatif keselamatan dan kesihatan dipertingkatkan secara berterusan melalui pemantauan yang berkesan, pematuhan prosedur kerja selamat serta penglibatan aktif semua peringkat warga kerja.

Usaha ini selari dengan komitmen JBALB Sarawak dalam menjaga kebajikan kakitangan serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan mampan kepada rakyat.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Tuan Hj. Tamida Da'adi (Timbalan Pengarah Pembangunan), Ir. Ts. Kueh Li Li (Timbalan Pengarah Khidmat Teknikal) dan Ir. Tie Tung Ing (Pengurus Kualiti).
YAB PREMIER SARAWAK KETUAI PROGRAM ‘WALK FOR HEALTH’, PENGARAH JBALB TURUT HADIR BERSAMA - 01 Feb 2026
YAB PREMIER SARAWAK KETUAI PROGRAM ‘WALK FOR HEALTH’, PENGARAH JBALB TURUT HADIR BERSAMA

YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak pagi ini telah mengetuai Program 'Walk for Health 2026' sebagai simbol komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memupuk gaya hidup sihat dan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB Sarawak), bersama ketua-ketua jabatan yang lain, sekali gus mencerminkan sokongan padu JBALB terhadap inisiatif kesihatan awam dan amalan hidup aktif.

Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal, malah mengukuhkan semangat kebersamaan, perpaduan serta kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat.

JBALB Sarawak akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam membina komuniti yang sihat, produktif dan sejahtera demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
PENGARAH JBALB PANTAU SITUASI DI SAMARAHAN, PASUKAN TEKNIKAL LAKUKAN PEMERIKSAAN MENYELURUH - 01 Feb 2026
PENGARAH JBALB PANTAU SITUASI DI SAMARAHAN, PASUKAN TEKNIKAL LAKUKAN PEMERIKSAAN MENYELURUH

Susulan daripada sesi perbincangan bersama YB Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta pihak Sarawak Water Sdn. Bhd. semalam, Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah JBALB Sarawak, turun padang hari ini bersama pasukan teknikal bagi memantau situasi bekalan air di Bahagian Samarahan dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera.

Pemeriksaan menyeluruh telah dijalankan melibatkan semakan kadar aliran (flow rate), tekanan air serta penilaian keadaan aset dan rangkaian paip di beberapa kawasan di Tambirat, Moyan, Asajaya dan Sampat.

Dapatan di lapangan digunakan untuk mengenal pasti punca isu dan merangka langkah pembetulan serta-merta bagi menstabilkan bekalan.
JBALB Sarawak terus komited bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan demi memastikan kebajikan pengguna terpelihara dan perkhidmatan bekalan air di Sarawak sentiasa terjamin.

Tuan Pengarah hari ini diiringi oleh Encik Ts. Adzahari Baini, Jurutera Air JBALB Bahagian Samarahan.
JBALB SARAWAK MENYERTAI PAMERAN PERKHIDMATAN KOMUNITI BERGERAK / MOBILE COMMUNITY SERVICES (MCS) SIRI 1 2026 - 31 Jan 2026
JBALB SARAWAK MENYERTAI PAMERAN PERKHIDMATAN KOMUNITI BERGERAK / MOBILE COMMUNITY SERVICES (MCS) SIRI 1 2026

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak telah dijemput buat julung kali untuk menyertai pameran perkhidmatan bersempena dengan Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak atau lebih dikenali sebagai 'Mobile Community Services (MCS)' Siri 1 2026 diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Datuk Patinggi Ali, Daerah Gedong.

Program MCS anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak merupakan salah satu usaha kerajaan secara bersepadu untuk mendekatkan rakyat kepada pelbagai jenis perkhidmatan dari agensi dan jabatan di lapangan.

Setinggi penghargaan kepada warga kerja JBALB Bahagian Samarahan dan Serian serta Cawangan Komunikasi Korporat di atas penglibatan dalam menjayakan pameran JBALB Sarawak.
JBALB MIRI DESTINASI PERTAMA, KEBAJIKAN WARGA KERJA DIUTAMAKAN - 30 Jan 2026
JBALB MIRI DESTINASI PERTAMA, KEBAJIKAN WARGA KERJA DIUTAMAKAN

JBALB Miri menjadi destinasi pertama Tuan Ts. Ahmad Selihin Che Said, Pengarah JBALB Sarawak sejak beliau dilantik ke jawatan tersebut dalam siri jelajah libat urus ke seluruh JBALB Bahagian, sebagai manifestasi komitmen kepimpinan tertinggi jabatan dalam mendekati warga kerja di peringkat akar umbi.

Sesi libat urus ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara pihak pengurusan dan warga kerja, di samping memberi ruang untuk mendengar secara langsung pandangan, cadangan serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan tugas seharian. 

Pendekatan turun padang ini mencerminkan keutamaan JBALB Sarawak dalam memastikan kebajikan, kesejahteraan dan motivasi warga kerja sentiasa terpelihara.

Dalam sesi tersebut, Tuan Pengarah turut menekankan kepentingan budaya kerja berpasukan, integriti serta komitmen berterusan dalam mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan bekalan air luar bandar demi kesejahteraan rakyat Sarawak. 

Penambahbaikan proses kerja, keberkesanan sistem penyampaian dan kesiapsiagaan jabatan dalam mendepani cabaran masa hadapan turut menjadi antara fokus utama perbincangan.

Siri jelajah libat urus ini akan diteruskan ke JBALB Bahagian lain sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh organisasi, menyatukan hala tuju jabatan serta memastikan perkhidmatan yang disampaikan terus relevan, cekap dan berimpak tinggi kepada rakyat.

JBALB Sarawak komited bergerak seiring, mendengar suara warga kerja dan terus memperkasa perkhidmatan demi Sarawak yang lebih mampan.
12345678910NextLast