JBALB SARAWAK DALAM PELAKSANAAN PROGRAM LITERASI DIGITAL 2025 PENJAWAT AWAM SARAWAK - 28 Aug 2025
JBALB SARAWAK DALAM PELAKSANAAN PROGRAM LITERASI DIGITAL 2025 PENJAWAT AWAM SARAWAK
Pada pagi tadi 28 Ogos 2025 (Jumaat), Cawangan Transformasi Digital bersama Cawangan Sumber Manusia Ibu Pejabat JBALB Sarawak telah menganjurkan satu mesyuarat berkenaan Program Literasi Digital 2025 Penjawat Awam Sarawak bertempat di The Waterfront Hotel, Kuching.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi serta pegawai kakitangan daripada Ibu Pejabat JBALB Sarawak.
Tuan Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan telah berkesempatan untuk hadir bersama dalam mesyuarat tersebut.
Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada semua penjawat awam Sarawak dalam melengkapkan dua (2) program pembelajaran secara dalam talian yang merangkumi 'Ai untuk Rakyat' dan 'Defending Against Phishing: The SCS Self-Paced Learning'.
Langkah ini adalah selaras dengan matlamat 'Sarawak Digital Economy Blueprint (SDE 2030) untuk mencapai 100 peritus penjawat awam Sarawak Celik Digital menjelang tahun 2027. Langkah yang proaktif dalam memperkukuhkan literasi digital bagi melahirkan penjawat awam Sarawak yang bersedia menghadapi cabaran era transformasi digital secara mampan dan menyeluruh.
Taklimat sepanjang program tersebut telah disampaikan oleh Encik Ir. Ts. Anwarul Adzizi Adeni (Ketua Pegawai Maklumat - CIO), dan Encik Mellvyn Mitchell Nathan (Penolong Ketua Pegawai Maklumat - ACIO).
Dalam masa yang sama, Sesi Menandatangani Surat Akuan Pematuhan Keselamatan Siber Kerajaan Sarawak juga turut diadakan.
'MIRI WATER FORUM' PLATFORM PERKONGSIAN ILMU SISTEM BEKALAN AIR - 23 Aug 2025
'MIRI WATER FORUM' PLATFORM PERKONGSIAN ILMU SISTEM BEKALAN AIR
Pada pagi tadi, 23 Ogos 2025 (Sabtu), Tuan Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan telah dijemput sebagai penceramah utama dalam 'The Miri Water Forum 2025' anjuran Curtin University Malaysia bertempat di Pustaka Miri.
Forum yang bertajuk 'Advancing Water Infrastructure in Sarawak : Balancing Strategic Management and Technological Innovation' membawa satu platform kolaboratif untuk berkongsi pandangan dalam pengurusan strategik dan teknologi untuk sistem bekalan air yang mampan.
Turut hadir bersama dalam forum tersebut adalah Encik Ir. Ts. Dr. Geoffery Ranggu Anak Thomas yang juga Pengurus Kawasan Miri Sarawak Water Sdn. Bhd.
KONTIJEN DAMAK SARAWAK LAKAR SEJARAH MENANGI PINGAT PERTAMA BUAT SARAWAK - 22 Aug 2025
KONTIJEN DAMAK SARAWAK LAKAR SEJARAH MENANGI PINGAT PERTAMA BUAT SARAWAK
JBALB Sarawak amat berbangga hari ini apabila kakitangannya yang mewakili pasukan damak Sarawak telah berjaya memenangi pingat gangsa, pingat pertama buat Kontijen Sarawak bersempena dengan temasya Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) 2025 bertempat di Dewan Raja Muda Shah Alam.
Pasukan Damak Sarawak berjaya menumpaskan pasukan Johor dengan kedudukan 3-0 bagi penentuan kedudukan pingat gangsa.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan damak Sarawak yang dipimpin oleh Ts. Fadil Kawi (Ketua Penolong Pengarah Bekalan Air Luar Bandar).
Tuan Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak selaku Ketua Kontijen SBAM Sarawak turut hadir memberikan kata-kata semangat kepada pasukan damak Sarawak.
#EncangSarawakEncang
#AgiIdupAgiNgelaban
#SarawakBoleh
#SBAMSELANGOR2025
SBAM SELANGOR 2025 DIRASMIKAN DENGAN PENUH GILANG GEMILANG - 21 Aug 2025
SBAM SELANGOR 2025 DIRASMIKAN DENGAN PENUH GILANG GEMILANG
Dengan lebih daripada seribu atlit mewakili semua operator bekalan air seluruh negara berhimpun di Arena MBSJ, Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) Selangor membuka gelanggang secara rasmi apabila telah dirasmikan dengan penuh warna warni dan gilang gemilang.
Majlis perasmian pada malam semalam telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia serta kehadiran tetamu kehormat yang lain.
Tuan Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak merangkap Ketua Kontijen SBAM Sarawak turut hadir pada majlis berkenaan bersama dengan Puan Malseni Jamal, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn.Bhd.
Didoakan kontijen Sarawak terus berentap memburu kejuaraan yang diidamkan.
SBAM merupakan acara dwi-tahunan bagi operator bekalan air seluruh negara dan Air Selangor merupakan tuan rumah pada edisi kali ini bermula 21hb Ogos sehingga 25 Ogos 2025.
RUWAS JBALB HQ
#EncangSarawakEncang
#AgiIdupAgiNgelaban
#SarawakBoleh
PENGARAH JBALB SARAWAK HADIRI 'BEM NATIONAL ENGINEERING CONVENTION' - 20 Aug 2025
PENGARAH JBALB SARAWAK HADIRI 'BEM NATIONAL ENGINEERING CONVENTION'
Pada hari ini tadi 20 Ogos 2025 (Rabu), Yang Berusaha Tuan Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak telah berkesempatan untuk menghadiri 'BEM National Engineering Convention' bertempat di Nexus Kuala Lumpur.
Konvensyen yang menghimpunkan ramai pemain industri bekalan air ini merupakan satu platform bagi perkongsian informasi dan maklumat terkini berkaitan industri bekalan air.
Turut hadir bersama beliau ialah Ir. Ts. Kueh Li Li, Timbalan Pengarah Khidmat Teknikal serta beberapa pegawai kanan JBALB Sarawak.
PENGARAH JBALB SARAWAK HADIRI 'WATER MALAYSIA 2025 A SPECIALISED CONFERENCE AND EXHIBITION - 20 Aug 2025
PENGARAH JBALB SARAWAK HADIRI 'WATER MALAYSIA 2025 A SPECIALISED CONFERENCE AND EXHIBITION
Pada 19hb Ogos 2025 (Selasa), Yang Berusaha Tuan Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak bersama beberapa pegawai telah menghadiri 'Water Malaysia 2025 A Specialised Conference & Exhibition' bertempat di Wyndham Grand Bangsar Hotel, Kuala Lumpur.
Persidangan selama dua hari ini menghimpunkan ramai pemain industri bekalan air bukan sahaja di Malaysia, malah turut dihadiri oleh pakar-pakar dari luar negara.
Tetamu kehormat yang telah merasmikan persidangan kali ini ialah YAB Dato' Sri Haji Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
JBALB SARAWAK DAN MAXIS TEROKAI PELUANG KERJASAMA DALAM ASPEK DIGITALISASI - 20 Aug 2025
JBALB SARAWAK DAN MAXIS TEROKAI PELUANG KERJASAMA DALAM ASPEK DIGITALISASI
Satu lawatan kerja ke Maxis Business Innovation Centre, Kuala Lumpur telah diadakan petang ini tadi 20 Ogos 2025 (Rabu) yang diketuai oleh Yang Berusaha Tuan Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak bersama rombongan Pengurusan Tertinggi JBALB Sarawak.
Lawatan ini sangat signifikan bagi pihak JBALB Sarawak untuk menerokai peluang kerjasama bersama pihak Maxis terutama dalam aspek dan bidang digitalisasi.
Sementalah Kerajaan Sarawak sangat menekankan aspek pendigitalan dalam perkhidmatan, diharap lawatan ini dapat membuahkan hasil yang positif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan JBALB Sarawak.
Rombongan JBALB Sarawak telah disambut mesra dan diberikan taklimat oleh Puan Fasliza Rosli (Head of Government &GLC), Encik Azri Zainuddin (Head of Government States) serta pegawai-pegawai Maxis yang lain.
KONTIJEN SARAWAK SEDIA GEMPUR SBAM SELANGOR 2025 DENGAN SEMANGAT 'ENCANG SARAWAK ENCANG' - 14 Aug 2025
KONTIJEN SARAWAK SEDIA GEMPUR SBAM SELANGOR 2025 DENGAN SEMANGAT 'ENCANG SARAWAK ENCANG'
Dengan laungan 'Encang Sarawak Encang' dan 'Sarawak Boleh', Kontijen Bekalan Air Sarawak bakal berjuang dan berentap pada Kejohanan Sukan Bekalan Air Se-Malaysia (SBAM) di Selangor pada 20hb - 25hb Ogos 2025.
Seramai 213 pegawai dan atlet pada pagi ini tadi telah berkumpul di Auditorium Menara LCDA untuk satu majlis yang sungguh bermakna iaitu Majlis Penyerahan Bendera Sarawak oleh Yang Berhormat Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak kepada Yang Berusaha Ir.Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan, Pengarah JBALB Sarawak merangkap Ketua Kontijen SBAM Sarawak 2025.
Dalam ucapan ringkas, YB Dato Sri sempat menitipkan pesanan untuk semua atlet berjuang dengan penuh semangat kesukanan tinggi demi mengharumkan nama Negeri Sarawak.
SBAM merupakan acara dwi-tahunan yang dianjurkan oleh operator bekalan air secara bergilir dan pada tahun ini Syarikat Air Selangor telah dipilih menjadi tuan rumah bagi 13 acara sukan.
Turut hadir dalam majlis pada pagi ini tadi ialah YB Datuk Liwan Lagang (Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak), dan Yang Berusaha Puan Malseni binti Jamal (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn.Bhd).
Semoga semangat Bumi Kenyalang menyala di SBAM Selangor pada minggu hadapan.
RUWAS JBALB HQ
KAKITANGAN JBALB SARAWAK YANG MEWAKILI SBAM SELANGOR 2025 DISARAN PAMER AKSI TERBAIK DAN PENUH SEMANGAT JUANG TINGGI - 11 Aug 2025
KAKITANGAN JBALB SARAWAK YANG MEWAKILI SBAM SELANGOR 2025 DISARAN PAMER AKSI TERBAIK DAN PENUH SEMANGAT JUANG TINGGI
Pada pagi tadi, 11 Ogos 2025 (Isnin), satu perjumpaan di antara Tuan Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan bersama kakitangan JBALB Sarawak yang bakal beraksi di kejohanan Sukan Bekalan Air Malaysia (SBAM) 2025 telah diadakan bertempat di Imperial Hotel, Kuching.
Perjumpaan ini telah memberi ruang kepada Tuan Pengarah untuk memberi amanat kepada semua atlit yang bertanding agar berjuang dengan penuh semangat kesukanan bermula 20 Ogos sehingga 25 Ogos 2025 di Negeri Selangor nanti.
Beliau telah menyarankan agar ke semua atlit yang mewakili bekalan air Sarawak terutama dari JBALB Sarawak untuk mempamerkan aksi terbaik dan penuh dengan semangat juang yang tinggi bagi mengharumkan negeri Sarawak.
Sebanyak 13 acara sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya SBAM 2025.
Sesi penyerahan jersi pasukan SBAM juga turut diadakan dalam perjumpaan tersebut.
SBAM merupakan acara dwi-tahunan yang dianjurkan oleh operator bekalan air secara bergilir di setiap negeri dan pada edisi kali ini, Air Selangor diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah.