News

 

LOJI RAWATAN AIR ‘ACUTE SYSTEM’ DI SUNGAI SADIT SIBU KINI BEROPERASI, HASILKAN SEHINGGA 4 JUTA LITER SEHARI

Posted on 14 May 2025
Source of News: RTM


LOJI RAWATAN AIR ‘ACUTE SYSTEM’ DI SUNGAI SADIT SIBU KINI BEROPERASI, HASILKAN SEHINGGA 4 JUTA LITER SEHARI

SIBU, 13 Mei 2025 – Projek pembinaan sistem rawatan air baharu yang dikenali sebagai ‘ACUTE System’ di Sungai Sadit, Sibu kini telah beroperasi sepenuhnya, selepas berjaya disiapkan dalam tempoh hanya enam bulan sejak pembinaannya bermula pada September tahun lalu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata projek ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan sistem bekalan air sedia ada di Bahagian Sibu.

Menurut beliau, dengan kos pembinaan sekitar RM5 juta, projek ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti minimum empat juta liter air terawat sehari, selain pemasangan saluran paip agihan untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan Sungai Sadit dan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan.

“merupakan teknologi terbaru daripada Germany yang kita gunakan dan ini merupakan pilot projek. Ianya dapat kita siapkan seperti yang saya katakan tadi dalam masa 6 bulan dan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan air sebanyak 4 juta liter air sehari,” katanya.

Tambahnya,sistem ini terbukti lebih efisien berbanding sistem penapisan tradisional dan beroperasi sepenuhnya secara automatik, di samping boleh dikawal dari jarak jauh, membolehkan jurutera mengawasi operasi loji dari rumah atau pejabat.

Sistem ini bukan sahaja membekalkan air bersih kepada kawasan-kawasan kritikal dengan segera, malah mengurangkan tekanan terhadap dua loji utama sedia ada, iaitu Loji Rawatan Air Salim dan Bukit Lima.

Air mentah bagi loji ini disalurkan daripada saluran paip utama milik Lembaga Air Sibu (LAS) yang menuju ke Tanjung Manis. Melalui kaedah ‘tapping’, air mentah tersebut diambil dan disalurkan ke loji ACUTE untuk diproses menjadi air terawat.

Projek ini dijangka membantu menangani isu bekalan air di kawasan Sibu yang kini mencatatkan kadar liputan hanya 87.2 peratus, dengan kawasan selebihnya masih menunggu penyelesaian jangka panjang.

Loji ini juga dirancang sebagai model rujukan bagi sistem rawatan air mudah alih yang boleh dipindahkan ke lokasi lain mengikut keperluan.

Beliau berkata demikian kepada media semasa melawat tapak loji ACUTE System di Sungai Sadit hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen kementerian untuk menyiapkan projek-projek berkaitan air mengikut jadual, selain terus memperluaskan liputan dan menyelesaikan isu bekalan air secara berkesan dan menyeluruh.

Projek ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak bernilai RM4.6 bilion,dengan RM285 juta diperuntukkan khusus bagi kawasan Sibu untuk tempoh lima tahun akan datang.